Thursday, 22 December 2011

Episod 2: Minda Jutawan Trump Sebagai Usahawan

Bertemu kita kembali dalam episod kedua siri artikel Minda Jutawan Trump Sebagai Usahawan. Artikel terdahulu  kita melihat bagaimana saranan-saranan motivasi yang diterima oleh usahawan, dan bakal usahawan telah menjadi perangkap diri dalam memusnahkan segala impian yang dibina, semasa mula-mula ingin bertapak dalam bidang keusahawanan yang penuh dugaan dan ganjaran.
donald trump - minda jutawan
Perkara ini juga tidak terkecuali kepada Trump. Tahun-tahun awal pembabitannya menyaksikan beliau mengalami kegagalan-kegagalan yang amat besar. Hutang peribadinya sahaja berjumlah USD950 juta.

32 Bank, Hutang USD5 Bilion

Ini belum lagi dikira hutang keseluruhan The Trump Organization yang berjumlah hampir USD5 bilion. Sebagai seorang usahawan yang baru membina nama, Trump benar-benar mengalami kejutan terbesar dalam hidupnya apabila beliau mula bergelut dengan krisis kebankrapan.
Kesannya terlalu besar dan mengesankan buat Trump. Trump bukan sahaja terpaksa melepaskan Trump Shuttle, sebuah syarikat penerbangan yang baru dibelinya. Malahan, nama beliau telah disingkirkan dari senarai bilionair majalah Forbes. Trump mengakui ini memberikan beliau sedikit kesan kepada psikologinya.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga terpaksa merayu dan berdepan dengan 32 buah bank dari seluruh dunia yang telah memberikan beliau pinjaman sebelum ini.
wall street journal
Ketika itu, ramai yang menjangkakan bahawa insan bernama Donald J. Trump akan sudah berada di penghujung kariernya sebagai seorang usahawan. Para media, pemerhati dan penganalisis perniagaan dunia meramalkan Trump akan kehilangan segala-galanya.
Antaranya ialah The Wall Street Journal dan The New York Times yang secara serentak dalam terbitan mereka pada 26 Mac 1991 meramalkan tamatnya nama beliau dalam dunia perniagaan. Pendek kata, tiada satu pun yang akan dimiliki beliau akhirnya dengan krisis kebankrapan dan kegagalan yang sedang dilalui itu.

Rahsia Minda Jutawan Trump

Namun, seperti yang dicoretkan di kulit hadapan buku Minda Jutawan Gaya Trump terbitan PTS Profesional. Tertera ayat berikut:
“Trump pernah bankrap dan hilang segala-galanya. Namun, dia mampu bangkit dan kembali menguasai dunia korporat. Rahsia hanya satu, MINDA JUTAWAN.”
Ya! Kebolehan beliau memprogramkan minda separa sedarnya menjadi minda jutawan telah menjadikan beliau kembali menguasai arena keusahawanan. Beliau percaya, setiap usahawan perlu memiliki minda jutawan agar perjuangan yang penuh ranjau dalam perniagaan tidak akan menjadikan kegagalan sebagai penamat sebuah impian.
Apakah yang dimaksudkan dengan minda jutawan untuk seorang usahawan? Apakah konteks yang yang perlu kita fahami untuk lebih mudah mempratikkannya dalam kehidupan seharian sebagai seorang usahawan?
Minda jutawan seperti mana yang dimiliki oleh Trump adalah minda separa sedar yang senantiasa berada dalam keadaan positif. Kerana ianya memiliki perisian-perisian yang tepat dan bersesuaian dengan matlamat seseorang usahawan.
Merujuk kes Trump, kita telah sedia maklum bahawa Trump menceburi bidang perniagaan hartanah kerana beliau amat mencintai perundingan dan pembangunan hartanah. Pada masa yang sama, beliau turut meletakkan matlamat untuk menjadi seorang jutawan yang terkenal.
Apabila semua matlamat dan usaha disatukan di dalam minda beliau. Maka, bermula peringkat membentuk minda separa beliau  menggunakan strategi-strategi tertentu  agar minda separa sedarnya hanya dimasukkan dengan perisian-perisian yang positif dan selari dengan matlamat yang ingin dicapai.

Menapis Kata-kata Positif Sang Jutawan

Perisian-perisian minda separa sedar yang dinyatakan ini adalah saranan-saranan seperti kata-kata yang dilafazkan oleh beliau atau dilafazkan oleh orang lain. Beliau akan menapis untuk memastikan hanya kata-kata yang positif sahaja akan kekal di simpan di minda separa sedarnya.
bandar new york
Sebagai seorang usahawan, Trump tidak dapat mengelakkan diri dari berurusan dengan ramai orang. Terutamanya mereka yang terdiri dari  golongan usahawan, para pelabur serta para birokrat seperti Datuk Bandar New York dan ahli majlis bandaraya yang selalu memperkecilkan kebolehannya ketika permulaan perniagaan beliau di New York.
Walaupun begitu, kritikan dan kata-kata yang memperkecilkan kebolehan dan kemampuan beliau akan segera disingkirkan dari mindanya. Beliau sama sekali tidak akan mengizinkan kata-kata negatif ini merosakkan minda separa sedar beliau bertukar menjadi minda kemiskinan.
Kata-kata negatif ini akan menjadi barah yang mampu menjahanamkan segala impian beliau untuk menjadi seorang usahawan dan jutawan yang berjaya.

3 Langkah Mencipta Sistem Minda Jutawan Trump

Oleh itu, beliau mengambil langkah-langkah pro-aktif dalam memastikan minda separa sedarnya sentiasa berada dalam kedudukan minda jutawan. Antara langkah-langkah pro-aktif membentuk minda jutawan yang diambil beliau ialah:
#1 – Kekalkan Fokus.
Beliau menceritakan di dalam buku beliau yang bertajuk Trump: How To Get Rich bagaimana beliau menjadikan kegagalan beliau menguruskan kewangan sebagai satu pengajaran yang terbesar yang beliau perolehi dalam hidupnya.
Ini menjadikan beliau lebih teguh ke atas matlamat yang ingin dicapai dan seterusnya membentuk minda beliau menjadi minda jutawan yang kekal fokus kepada kemahuan beliau.
#2 -Berfikiran Besar
Berfikiran besar adalah falsafah kehidupan beliau yang utama. Disebalik, kegagalan yang begitu memeritkan ketika permulaan menjadi usahawan.
Minda jutawan beliau tetap teguh tanpa sedikit pun dapat dirobek oleh mana-mana virus kegagalan, yang biasanya akan berjaya mengubah jiwa orang yang gagal menjadi semakin lemah dan berputus asa.
Ini kerana beliau mempunyai gaya pemikiran yang senantiasa berpandangan jauh dan luas. Beliau tidak menghadkan sesuatu perkara yang terjadi dalam hidupnya dengan skop yang kecil.
The Trump Organization
Empayar The Trump Organization yang baru dibinanya boleh sahaja terus berkubur jika beliau tidak berfikiran besar dalam menangani krisis tersebut. Hasil pemikiran besar yang dimiliki beliau itu, strategi pentsrukturan semula hutang-hutang dan perniagaan dapat diselesaikan dengan mudah.
Minda jutawan yang berasaskan berfikiran besar dapat memberikan idea-idea yang terbaik untuk beliau membentuk pelan penstrukturan semula hutang dan perniagaan. Ini seterusnya matlamat beliau untuk menjadi usahawan dan jutawan terkenal bukan satu ilusi semata-mata walau sedang berhadapan dengan krisis kebankrapan.
#3 – Percaya Kata Hati Anda
Trump  adalah seorang yang insan amat mempercayai kata hatinya. Beliau amat yakin dengan kata hatinya dalam menentukan sesuatu, biar pun idea dan pandangannya tidak disukai ramai atau bertentangan dengan orang lain.
Beliau yakin, dengan percaya kepada kata hatinya. Kejayaan yang lebih besar akan mampu beliau capai biar pun jalan-jalan yang dilalui itu akan mempunyai banyak halangan.
Kegagalan bertindak mengikut kata hati mungkin menyebabkan beliau akan berada di tahap yang lebih rendah dari sepatutnya.
Keberanian beliau mengikut kata hatinya didasari oleh kekuatan kendiri yang ada pada diri beliau dengan memiliki minda jutawan. Pada beliau, mungkin orang lain tidak nampak apa yang beliau nampak dan ini menyebabkan mereka tidak sehaluan dalam perkara-perkara tertentu dengan beliau.
Contohnya dalam pengisian daya penarik atrium Trump Tower New York. Trump memilih untuk membina air terjun sedangkan ramai eksekuti kanannya memilih untuk meletakkan lukisan yang besar.
Terbukti, minda jutawan yang mengilhamkan beliau untuk membina air terjun di atrium Trump Tower New York telah memberikan pulangan berpuluh-puluh juta dolar  (USD), apabila saban tahun ia menerima kunjungan puluhan ribu pelawat kerana tertarik dengan keunikan dan kemewahan air terjun tersebut.
trump tower di new york

Minda Separa Sedar Berkuasa

Kesimpulannya, sebagai usahawan, memiliki minda separa sedar yang berada di dalam keadaan minda jutawan adalah satu keperluan buat para usahawan yang ingin berjaya dengan cermelang.
Ianya bukan berkisar tentang sama ada kita mahu menjadi seorang jutawan atau tidak tetapi jauh lebih penting dari itu, minda jutawan yang dimiliki berfungsi untuk membolehkan kita meraih keuntungan di dunia dan akhirat, sebagaimana yang digariskan di dalam model Jutawan Al Falah™.
Minda Jutawan Trump Sebagai Usahawan: Episod 3 akan mengupas lebih lanjut beberapa pratikal harian yang boleh dijadikan sebagai sebahagian strategi-strategi kejayaan seorang usahawan dalam mencapai kejayaan sebenar.

No comments:

Post a Comment