Wednesday, 26 October 2011

Boleh je cari banyak harta

tapi jangan sampai kita lupa Allah!


“Ketahuilah kamu bahawa jika dibandingkan kenikmatan yang terdapat dalam dunia ini dengan kenikmatan yang terdapat di dalam syurga, maka dunia sebenarnya adalah tidak lebih seperti seketul bangkai yang ditarik atau direbut-rebut oleh beberapa ekor anjing.”

Demikianlah jawapan Rasulullah S.A.W bila seorang bertanyakan tentang bezanya kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat. Sungguh amat rugilah bagi mereka yang tidak sedar akan hakikat hidup yang sebenar. Dunia umpama persinggahan dalam perjalanan yang masih jauh menuju alam akhirat yang kekal abadi tiada penghujungnya. Amat bodoh sekali bagi mereka yang mengadaikan akhirat semata-mata kerana kesenangan fatamorgana di alam dunia yang bila-bila saja akan berakhir.

Nikmat hidup di dunia begitu kecil dan tak mampu dibandingi dengan kehebatan alam syurga akhirat. Tidak mungkin sebenarnya dibuat perbandingan nikmat dua alam tersebut kerana bezanya amat jauh dan seolah tidak langsung relevan, namun Rasulullah S.A.W tetap menyatakan kerana manusia sememangnya perlukan jawapan, akal yang diberikan sungguh tidak sampai..

Bercakap tentang nikmat dunia yang boleh melalaikan, mengingatkan saya dengan satu kisah dalam hadith yang masyhur. Ia berlaku di zaman Rasulullah S.A.W di mana seorang sahabat bernama Abu Tha’labah yang hidupnya miskin dan faqir namun beliau terkenal di masa itu seorang yang cukup taat dan sering solat berjamaah bersama Nabi S.A.W dan para sahabat yang lainnya. Tapi ada satu perkara padanya yang membuatkan Nabi dan para sahabat semua hairan padanya kerana Abu Tha’labah tidak pernah tunggu sehingga doa selesai setelah habis solat berjamaah.

Pada suatu hari yang tak dijangka oleh Abu Tha’labah, Rasulullah S.A.W telah memanggilnya sebaik beliau ingin beredar dari bersama mengaminkan doa dan bertanya, “ Wahai Tha’labah, mengapa aku lihat engkau tidak pernah mahu menunggu bersama jemaah lain untuk mengaminkan doaku?” Maka Tha’labah menjawab, “Wahai Rasulullah, sebenarnya hamba ini seorang yang amat miskin, kebetulan hanya inilah sahaja sehelai kain (sambil memegang kain yang dipakainya) yang hamba miliki, oleh itu hamba tidak sempat untuk menunggu lama bagi mengaminkan doa Rasulullah, sebab kain ini jugalah yang hendak dipakai oleh isteri hamba yang kini sedang menunggu untuk bersembahyang di rumah.”

Bila saja mendengar jawapan tersebut, Rasulullah S.A.W terkejut lalu baginda bertanya kepada Abu Tha’labah: “Jika demikian miskinnya kamu, maka mahukah engkau aku doakan supaya menjadi kaya?”. Lalu Abu Tha’labah terus menjawab: “Demi engkau sebagai Nabi dan kekasih Allah, doakanlah supaya aku menjadi kaya.”

Tidak lama setelah itu hidup Abu Tha’labah bertambah senang dan akhirnya beliau menjadi jutawan dan hartawan, hatra makin bertambah-tambah, perniagaan kambing biri-biri dan unta yang diusahakan semakin maju dan berjaya. Namun apa yang berlaku selepas kekayaannya, Abu Tha’labah tidak lagi muncul dan solat berjamaah di masjid bersama-sama Nabi S.A.W dan para sahabat yang lain. 

Bila ditanyakan oleh para sahabat tentang ketiadaan Abu Tha’labah datang solat berjemaah, lalu Nabi S.A.W terus menjawab, “Kesibukan menguruskan harta benda dan kecintaan Tha’labah kepada dunia ini menyebabkan dia terlupa untuk mencari jalan ke masjid.”

MasyaAllah..

Amat besar dugaan bagi mereka yang dikurniakan kekayaan dan harta yang banyak ketika di dunia. Sementara menunggu di bawa ke alam akhirat, tak semua yang mampu bertahan menurut perintah Allah. Dirasakan dunia ini miliknya dan diri mula hilang pertimbangan, sifat tamak memakan diri dan ianya menganas bak api menjulang dan membakar apa saja kebaikan dan amalan yang sekian lama dilakukan. Mohon diri diberi kekuatan dan diselamatkan dari lupakan Tuhan di saat diri dilimpahi kesenangan dan kemewahan.

Paparan saya ini tentang kekayaan yang diberikan Tuhan dan ketamakan manusia yang tiada kepalang bukan ingin menyekat siapa jua mencari harta dan menjadi kaya. Tetapi satu peringatan buat diri dan sahabat semua tentang hakikat manusia yang sebenar. Belangnya akan timbul di saat diri merasa hebat dan berjaya. Amalan kebaikan yang dilakukan sebelumnya tenggelam dan hanyut dibawa arus kenikmatan dunia yang seketika…

Islam sebenarnya amat menyuruh hambanya berusaha sedaya mungkin mencari harta dan kekayaan. Namun ada caranya mengelak diri terbelenggu olehnya dengan membayar zakat, bersedeqah kepada mereka yang memerlukan dan menunaikan hak Allah seperti haji dan umrah di tanah suci. Dengan harta juga wajib digunakan dalam usaha dakwah mengembang agama Allah ke serata alam kerana hanya dengan Islam manusia akan selamat dan dunia menjadi aman.

Siapa yang tidak kenal dengan Syaidina Othman Al-Affan. Siapa pula tidak kenal dengan Qarun. Pasti dapat membezakan antara kedua-dua insan hebat ini bukan… Rasulullah S.A.W juga seorang saudagar dan suami kepada seorang saudagar yang kaya raya Saiyidatina Khadijah R.A. Hampir seluruh hartanya digunapakai dalam mengembangkan syiar Islam. Hampir seluruh hidup Baginda dalam kesusahan tetapi baginda S.A.W seorang pemimpin dan saudagar yang terunggul!

Tepuk dada, tanyalah iman… Janganlah kerana mengejar dunia, ibadat pada Tuhan ditinggalkan… Jangan kerana dah semakin senang kebaikan yang sebelum ini menjadi amalan diabaikan… Dan jangan pula kerana harta kekayaan sahabat yang selama ini berkongsi cerita dilupakan… Ingat! hidup kita ini umpama ‘dunia kata pergi, kubur kata mari’. Kita menghitung masa untuk ke sana, bukan di dunia buat selamanya.

Saya akhiri perkongsian saya kali ini dengan sebuah hadith Rasulullah S.A.W iaitu jawapan pada pertanyaan beza antara dunia dan akhirat. Sabda baginda S.A.W: “Celuplah jarimu ke air laut, maka air yang menitis dari hujung jarimu itulah dunia, manakala air yang selebihnya tertinggal di lautan itulah akhirat.”

Sekian coretan saya di pagi yang indah ini. Harapnya ia menyedarkan hati yang sering lupa dan alpa mengejar kaya yang akan ditinggal jua bila tiba masanya. Alhamdulillah masih diberikan nyawa untuk aku berfikir dan berusaha dengan penuh daya dan upaya mencari redhaNya, walau di manaku berada. Salam ingatan buat sahabatku sekalian. Wallaahua’lam Bissowab.

No comments:

Post a Comment