Wednesday, 26 October 2011

Kuasa niat cukup hebat… penting sangat!

jangan pula tak buat.



Firman Allah:

”…Allah menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya…” 
(QS. Al-Mulk: 02)
Sabahatku sekalian, mari kita fikir sejenak… kenapa perlu kita berniat sebelum melakukan sesuatu perkara? Sejauhmana keperluannya? Apa kesannya? Hakikatnya niat itu kunci segala kejayaan dan pemacu ke arah kecemerlangan. Ia merupakan elemen terpenting dalam usaha mendapatkan sesuatu. Malah ia merupakan kunci utama bagi kehidupan. Niat merupakan doa dan harapan seseorang yang kuat dalam diri untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan.
Mari kita lihat dari 2 aspek berbeza tetapi ianya menjelaskan tujuan yang sama iaitu kuasa yang ada pada niat. Dari aspek anggota fizikal bila melakukan sesuatu niat, ia mempunyai kuasa yang amat hebat dalam hidup kita. Kuasa tersebut terhasil dari getaran dan gelombang yang mengalirkan ‘positive energy’ yang merangsang minda bawah sedar kita secara efektif & produktif. Keadaan ini menyebabkan sistem bio-kimia tubuh mendapat arahan jelas untuk bertindak mengikut apa yang di niatkan.

Apabila seseorang itu melakukan niat, suatu arahan telah diberikan secara khusus kepada minda. Kemuadiannya arahan tersebut disampaikan secara pantas dan berkesan ke seluruh anggota badan untuk misi penyempurnaan. Umpama seorang jeneral memberi arahan kepada bala tenteranya. Arahan tersebut pasti disambut dengan persediaan dari aspek fizikal & juga mental. Segala peralatan perang dipersiapkan, latihan fizikal diperkuatkan & strategi dimantapkan.

Dari sudut agama pula, kita diajar untuk mulakan setiap perbuatan dengan niat yang baik dan ikhlas. Fungsi niat dalam Islam amat penting dan ia wajib diamalkan, jika tidak segala ibadat yang dilakukan tidak dikira. Niat paling utama bagi umat Islam adalah niat kerana Allah Taala semata-mata, bukan yang selainNya. Kesannya, kuasa fokus akan hadir. Dengan kata lain, kunci utama untuk mendapat fokus yang tinggi & jelas adalah niat! Bila fokus, kejayaan dan keberhasilan akan insyaAllah akan datang! Rentetan dari niat juga, datangnya kesungguhan, kesabaran & ketabahan untuk melaksanakannya.
Niat tempatnya di dalam hati, bukannya di lidah. Ia tak perlu dilafazkan dengan terang tapi perlu hadir secara jelas dalam hati. Namun jika ianya dihadirkan dalam hati, kemudian dilafazkan dengan terang melalui lisannya adalah lebih baik dan sempurna. Menurut Imam Malik dan pengikut mazhabnya, niat hanya perlu dalam hati tak perlu dizahirkan dengan lisan. Ini berdasarkan amalan Nabi SAW dan para sahabat yang tidak pernah mengucapkan nita dengan lisan.
Dari segi hukum, sebahagian ulama berpendapat bahawa niat itu adalah rukun bagi satu-satu ibadat. Sebaliknya sebahagian ulama yang lainnya berpandangan bahawa niat itu syarat ibadat. Walaubagaimanapun, mereka semua bersepakat bahawa ibadat seseorang itu tidak sah atau terbatal secara automatik jika seseorang itu tidak berniat sebelum melakukannya. Contohnya seseorang yang solat tanpa hadirnya niat, maka solatnya itu tidak sah! Demikianlah juga bagi ibadat-ibadat yang lain.

Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang maksudnya :
“Sesungguhnya hanyasanya akan sah atau diterima sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang dia niat hijrah kepadanya”.
Proses penghijrahan yang penuh dengan keperitan dapat ditempuh dengan penuh ketabahan & kesabaran bila ianya dimulai dengan niat yang betul. Tapi AWAS! dalam melakukan niat, harus ada tatacaranya serta panduan agar ianya efektif dan menghasilkan ‘result’ yang mantap! Jika ianya difahami secara jelas, pasti apa jua yang diusahakan dengan izin Allah menghasilkan keputusan yang hebat! Yakinlah dengan janji Allah. Namun sekiranya niat dipesongkan ke arah yang salah, pasti apa yang dikejar tidak mungkin diperolehi.

Kesimpulannya, kuasa niat sebenarnya menghadirkan kuasa fokus. Dengan fokus yang jelas dan tajam, apa jua yang dilakukan pasti dengan izin Allah dapat diperolehi dengan mudah.  Ini kerana bila saja berniat, 2 perkara utama berlaku serentak! iaitu satunya seluruh anggota tubuh memberikan fokus yang cukup hebat dalam misi yang ditargetkan. Keduanya pertolongan Allah akan turun bagi memastikan apa yang dirancang dan dilakukan menjadi kenyataan. Inilah yang maha hebat kerana segala semua yang ada di langit dan juga di bumi adalah milik-NYA. DIA lah yang Maha Kuasa.
Allaahu Akbar! Wallaahua’lam.

No comments:

Post a Comment